Dengan penuh kesyukuran, saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya dapatlah saya merakamkan sepatah dua kata dalam Laman Web SMKA Al-Mashoor(L) ini.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kumpulan guru yang telah berjaya mencipta dan menghasilkan laman web ini. Semoga dengan adanya laman wen SMKA Al-Mashoor(L) ini akan membantu memperkenalkan sekolah ini bukan sahaja di negara kita Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Ini adalah selaras dengan slogan SMKA Al-Mashoor(L), `Al-Mashoor Di Persada Mutiara'. Sesuai hasrat kerajaan untuk memberikan pendidikan berkualiti bagi memastikan warga sekolah kekal relevan dengan kehendak semasa, laman web adalah merupakan wadah yang menyediakan peluang pendidikan dan maklumat-maklumat terkini yang mampu membendung cabaran globalisasi jika ianya dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga sekolah.

Dalam melahirkan insan cemerlang, keperluan penggunaan teknologi dalam pendidikan tidak dapat dinafikan. Oleh itu, warga sekolah ini perlu mengubah mindset sesuai dengan perubahan teknologi terkini untuk mewujudkan Pendidikan Bestari sebagai pemangkin kegemilangan.